Header Ads

Biodata Imam Al-Ghazali


Abu Hamid bin Muhammad Al-Ghazali dilahirkan pada abad kelima Hijrah iaitu tahun 450 H bersamaan 1058 M di Kota Thous daerah Khurasan. Penduduk kota tersebut majoritinya beragama Islam Syiah dan Kristian. 

Ayahnya terkenal dalam masyarakat setempat dengan ‘alim yang soleh dan wara’ di mana dia tidak makan sesuatu kecuali yang bersumber daripada hasil kerja dan pendapatannya sendiri. Pada masa luang daripada pekerjaan seharian, dia mengambil kesempatan untuk menghadiri majlis pengajian para ahli feqah. Banyak kali dia menangis kerana tadarru’ di tengah-tengah majlis tersebut sambil memohon kepada Allah agar dianugerahkan anak lelaki yang bakal menjadi pendakwah yang faqih. Sayangnya dia tidak sempat untuk melihat bagaimana Allah memaqbulkan doanya apabila dia meninggal dunia ketika puteranya masih kanak-kanak lagi. Ibunya pula sempat menyaksikan kehebatan yang ada pada puteranya itu. 

Al-Ghazali mempunyai dua orang bapa saudara yang bernama Abu Bakar bin Hidayatullah dan Ahmad bin Muhammad yang terkenal dengan gelaran Abu Muhammad dan Abu Hamid. Beliau terkenal sebagai ahli feqah yang wafat di Nadzaaran, Thous. Dengan ini setengah pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan gelaran Abu Hamid Al-Ghazali adalah Ahmad bin Muhammad bukannya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Tetapi pendapat yang lain menyatakan Ghazali dipanggil Abu Hamid berdasarkan nama anak lelaki beliau yang bernama Hamid di mana anaknya ini meninggal dunia ketika kecil lagi . 

Sebelum ayahnya meninggal dunia, dia sempat membawa dua orag anaknya bertemu dengan seorang ahli Tasawwuf. Ahli Tasawwuf inilah yang menasihatkan kepada Al-Gahazali dan saudaranya agar memasuki sebuah pusat pengajian yang dibina oleh satu badan waqaf dengan harapan dapat membantu dalam membiayainya. 

Guru pertama Imam Al-Ghazali adalah seorang Sufi yang bernama Yusuf An-Nasaaj dan seorang ahli Feqah yang bernama Muhammad Al-Razkaani Al-Thousi. Belum sempat usia beliau 20 tahun, beliau telah dapat melanjutkan pengajiannya di markaz ilmu yang terbesar pada masa itu di Jurjaan di bawah asuhan Nasher Al-Ismaily. Hasrat beliau untuk menuntut ilmu agama melebihi hasratnya mempelajari Bahasa Arab dan Parsi. Kemudiannya dari madrasah Jurjaan, beliau berpindah ke Kota Naisabur. Di sinilah beliau belajar dengan Dliyaa’uddin Al-Juwainy yang terkenal dengan gelaran Imam Al-Haramain ( M 478 H ). Pelbagai ilmu yang beliau petik di tempat tersebut bahkan di kota inilah beliau memulakan kerjayanya sebagai penulis dan pengarang. 

Selepas itu beliau berpindah ke Kota Baghdad yang menjadi pusat kebudayaan Islam pada masa itu. Di sini beliau mulai mengajar ilmu sehingga ramai orang yang mula simpati kepadanya. Akhirnya beliau dilantik menjadi guru besar di Universiti Nidzamiyah pada tahun 484 H dalam mata pelajaran ilju Feqah. Kemasyhuran yang diperolehinya telah menyebabkan jiwanya tergoncang. Peristiwa pergolakan antara ilmu dan amal yang dialaminya telah dinukilkannya dalam kitab beliau yang berjudul: Al-Munqidz min al-Dholal ( Pembebasan daripada Kesesatan ). Ini merupakan suatu dalil daripada pengamat sejarah bahawa Al-Ghazali mulai menyerang filasafat ketika berada di Iraq bukannya sejak berada di Kota Naisabur. Rayuan duniawi yang bergolak di batinnya dapat dipatahkan namun telah menimbulkan suatu penyakit yang tidak dapat diubati oleh pakar perubatan pada masa itu. Semacam penyakit yang timbul dari "dalam" sehingga pengubatan dari "luar" tidak berfaedah sama sekali. Beliau mengubati penyakitnya dengan kekuatan jiwanya sendiri. Penyakitnya sembuh malah beliau memperolehi ilham dan hidayat daripada Allah serta kepastian fungsi dan kedudukan ilmu. 

Pemergian beliau meninggalkan Kota Baghdad beerti meninggalkan segala kemewahan, harta kekayaan, sanjungan, penghormatan serta keluarga. Beliau menuju ke Damsyik, Syria pada tahun 489 H setelah terlebih dahulu mewaqafkan hartanya. Ketika berada di Kota Damsyik, beliau menetap selama 11 tahun di mana sepanjang hari dan malamnya diisi dengan khalwat, I’tikaf, mensucikan diri dan jiwanya serta sentiasa tafakur ke hadhrat Allah. Kadang-kadang beliau pulang ke Baghdad untuk menziarahi dan menengok keadaan keluarganya. Dari Kota Damsyik beliau melawat ke Jurussalem untuk berkhalwat selama beberapa waktu di sana. Kehidupan seperti ini berlangsung selama beberapa tahun sehingga beliau akhirnya kembali menetap di Baghdad. Buat kali keduanya beliau diminta untuk memangku jawatan Profesor di Universiti Nidzam al-Mulk ( 500 H/ 1106 M ). 

Dalam mencari kebenaran, Imam Al-Ghazali telah menempuh empat jalan iaitu sebagaimana berikut : 

a. Ilmu Kalam 
b. Filsafat Aristoleles 
c. Mazhab Ta’alimiyah ( Ashab al-Imam al-Ma’sum ) 
d. Tasawwuf 

Karya tulisan Imam Al-Ghazali banyak menarik perhatian orang-orang di Eropah sehingga pelbagai hasil penulisannya telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Tulisan beliau tentang "Logika, Psikologi, metafizik" merupakan karya beliau yang pertama kali menawan hati orang-orang barat terutama di Sepanyol. Ketika filsafat Ibnu Rusydi muncul, arus kefahaman Al-Ghazali agak terdesak. 

Setelah beliau mengharungi pahit getirnya kehidupan dalam menghirup samudera ilmu pengetahuan serta mengecapi kelazatan beribadat maka pada tanggal 9 Disember 111 M bersamaan 505 H beliau pulang ke rahmatullah dalam usia 55 tahun. Walau pun beliau telah meninggalkan dunia yag fana ini namun begitu warisan daripada hasil penulisan beliau yang begitu berharga ini sempat ditinggalkan untuk generasi selepasnya sehingga hari ini. 

Beberapa saat sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau masih sempat berkata : " Sekarang aku telah kembali kerana kembali itu berpulang ke asal ". 

Rujukan 

1. Abu Hamid Al-Ghazali ,Al-Munqiz min Al-Dholal, semakan Abdul Mun’im al-‘Ani, Al-Hikmah, 1994 

2. Abu Hamid Al-Ghazali, Bimbingan Permulaan Mencapai Hidayat, terjemahan H.M As’ad el- Hafidy, PT Bina Ilmu Surabaya, 1982 

3. Prof. Dr. Hj. Aboebakar Atjeh, Akhlak Dalam Islam, Pusataka Aman Press, cetakan kedua 1982

No comments:

Theme images by johnwoodcock. Powered by Blogger.