Header Ads

Awan dan Pekebun Soleh

Imam Muslim telah meriwayatkan dalam sohihnya daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: 

Di antara kita ada seorang lelaki telah melalui satu kawasan maka dia telah mendengar satu suara dalam awan : " Siramilah kebun si pulan!". Maka awan itu terus menuju (kebun si pulan itu). Maka ia telah mencurahkan airnya pada tanah yang mempunyai banyak batu-batan hitam. Apabila ia melalui saliran (antara batu itu) maka air itu telah memenuhinya(saliran). Maka dia(lelaki tadi) mengikuti air itu. Maka dia mendapati ada seorang lelaki sedang berdiri dalam kebunnya. Dia mengairi aliran air itu menuju kawasannya(kebun) dengan alat. Lelaki itu bertanyanya(pekebun) : "Wahai hamba Allah! apakah namamu?". Jawabnya: "Pulan sebagaimana nama yang telah didengar di awan". 

Pekebun itu lantas bertanyanya(lelaki itu) : "Wahai hamba Allah! mengapa engkau bertanya tentang namaku?".Maka beritahunya : " Sesungguhnya aku telah mendengar satu suara di awan yang mana ini adalah airnya(yang dicurahkan). Suara itu berkata :" Siramilah kebun si pulan sebagaimana namamu. Apakah(amalan) yang engkau lakukan padanya? 

Jelas pekebun itu :" Maka jika inilah katamu, sesungguhnya aku telah melihat kepada apa yang keluar daripadanya(hasil kebun) maka aku telah memberi sedekah satu pertiganya, untuk makanan aku dan keluargaku satu pertiga dan aku tinggalkan dalamnya(kebun) satu pertiga. 

RINGKASAN KISAH 

Rasulullah S.A.W telah menceritakan tentang seorang lelaki yang telah mengalami peristiwa yang agak pelik. Dia telah melalui satu kawasan yang sunyi di mana ada awan telah lalu di atas kepalanya.Dia telah mendengar satu suara dalam awan itu yang mengarah sesuatu yang lain supaya menyirami kebun seorang lelaki yang disebut namanya. Sebagaimana maklum bahawa Allah telah mengarah agar para malaikat menjaga awan bagi tujuan mengawalnya dengan menurunkan hujan pada kawasan yang ditetapkan olehNya. Suara yang didengari oleh lelaki itu ialah suara malaikat. Memang sunnatullah kita tidak mampu mendengar perbualan malaikat melainkan dengan hikmah yang dianugerahkan oleh Allah. Hikmah yang dianugerahkan kepada lelaki ini iaitu dapat mendengar suara malaikat adalah bertujuan untuk memberitahu kita tentang kebaikan dan berkat yang dianugerahkan oleh Allah kepada pekebun yang istiqomah dan tetap dalam amalan soleh. 

Suara malaikat itu telah menarik perhatian lelaki tadi untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai lelaki yang disebut namanya di dalam awan itu.Dia memerhati tempat di mana awan itu mencurahkan air hujannya iaitu di satu kawasan yang mempunyai banyak batu-batan yang hitam. Lelaki itu terus memerhatikan bagaimana air hujan itu memenuhi satu saliran di celah-celah batu itu. Melalui saliran itu ia membawa air menuju ke satu kebun. Ketika itu tuan kebun itu tengah mengairi laluan air di kebunnya dengan menggunakan alatnya. Lelaki tadi terus menemui tuan kebun itu dan bertanya tentang namanya. Lalu tuan kebun itu memberitahu namanya yang mana namanya memang menyamai nama yang telah didengarnya di dalam awan itu. 

Tuan kebun itu berasa hairan apabila lelaki itu bertanya mengenai namanya lalu bertanya kepada lelaki itu tentang sebabnya. Lantas lelaki itu memberitahu sebabnya yang sebenar. Selepas ityu lelaki itu bertanya tentang amalan yang telah dilakukan oleh tuan kebun itu sehingga dia telah dianugerahkan nikmat itu iaitu malaikat menyuruh agar awan menyiramkan kebunnya. Ini adalah kerana hanya mereka yang beramal soleh dan diredhai oleh Allah sahaja yang berhak memperolehi nikmat sebagaimana yang berlaku ke atas tuan kebun itu. Tuan kebun itu terus memberitahu bahawa hasil tanamannya setiap kali diperolehinya akan dibahagi kepada tiga bahagian bagi menjaga kesucian dan keberkatannya. Satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga untuk kegunaan dia dan keluarganya dan satu pertiga lagi untuk kebunnya. 

Kita memang mengetahui bahawa amalan sedekah mampu mengawal harta kita serta menyucikannya dan juga diberkati oleh Allah. Pemberian nafkah untuk keluarganya adalah suatu yang wajib dan menjaga kebun dengan menyiram serta membajaknya adalah suatu yang penting. Dari sini kita dapat lihat tentang teladan yang baik pada diri tuan kebun yang soleh ini di mana dia tahu hak Allah, hak diri dan keluarganya dan dalam masa yang sama tahu tentang cara untuk menjaga tanah dan menyuburkannya. 

PENGAJARAN HADIS 


1. Allah sentiasa menjaga hambaNya yang soleh yang melakukan segala perintahNya. dalam kisah ini Allah telah menyuruh agar awan menyiramkan kebun seorang lelaki yang soleh yang telah bersedekah dengan satu pertiga daripada hasil tanamannya. 

2. Allah menyayangi hambaNya yang mampu mengimbangi segala pekerjaan dan perbelanjaannya yang mana dia memberi kepada setiap sesuatu haknya. Allah memuji tindakan tuan kebun itu yang membahagikan hasil tanamannya kepada tiga bahagian di mana dia tidak melampaui dalam pembahagian itu iaitu dengan melakukan pembahagian yang sama rata tanpa melebihkan salah satu daripada yang lain. 

3. Kualiti kerja iaitu Allah telah menyebut tentang amalan sedekah dan pekerjaan tuan kebun itu. Bukanlah seorang itu dianggap soleh jika dia hanya beribadat sehingga meninggal pekerjaannya, tidak berkahwin sehingga tidak suburnya zuriatnya sebagaimana tanggapan setengah orang yang jahil. 

4. Apabila Allah telah redha dengan hambaNya maka Dia akan menganugerahkan apa yang ada samada dilangit dan bumi seperti Dia mengarahkan agar awan menyiram kebun lelaki soleh itu. 

Biografi : 
1. Sohih Qisos an-Nabawi, D. Umar Sulaiman Abdullah al-Ashqar, Darul an-Nafa

No comments:

Theme images by johnwoodcock. Powered by Blogger.